Thursday 18 Apr 2024
By
main news image

This is a statement from the palace on the king consenting to declare a state of emergency to curb the spread of Covid-19.

Kuala Lumpur, 12 Januari, 2021 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin di Istana Negara, semalam (11 Januari, 2021). 

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 45 minit bermula pada jam 5.30 petang semalam, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan  Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan  kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak bulan Disember lalu. 

Setelah memperhalusi penjelasan YAB Perdana Menteri dan sembah taklimat  daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan  Sri Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Haji Affendi bin Buang; Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid bin Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani bin Salleh, maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan  Persekutuan. 

Perlu dimaklumkan bahawa perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.  

Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. Ianya juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan  kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan  semasa sesi taklimat tersebut.  

Menurut statistik, 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus. Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus. 

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus. 

Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.  

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. 

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan  satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan  Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat  ini dapat ditamatkan lebih awal. 

Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap  keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri  masih mengharungi bencana banjir. Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa  kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan,  maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara. 

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang,  tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama. 

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan ini. 

Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan berkesan. 

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal  diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia. 

Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung  nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul  tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi dari segala  bentuk ancaman dan wabak ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. 

Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang  melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan. 

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin 
Datuk Pengelola Bijaya Diraja 
Istana Negara

      Print
      Text Size
      Share